Thursday, May 22, 2008

SENI KHAT

Seni adalah jiwa dan jiwa adalah seni. Jiwa yang tidak berseni dan seni yang tidak berjiwa adalah seni yang mati dan jiwa yang mati´ – Amiera_ns. Ungkapan yang lebih ironis tentang memahami kesenian Islam ini menggambarkan betapa halusnya nilai seni yang terpancar pada setiap huruf seni khat. Lakaran-lakaran seni dan tulisan diadun bahasa fikir sehingga menjadi untaian tali jiwa dalam memahami erti kehidupan segajat, membangkitkan nafsu kecintaan sesama manusia juga kepada Maha Pencipta – konsep seni dalam silaturrahim Islam.

Kesenian unggul dalam Islam terpancar pada Ummul Kitab (al-Quran) yang diturunkan sebagai panduan dan pedoman untuk semua umat manusia. Naskhah lengkap panduan hidup umat Islam merupakan seni yang tidak dapat ditangkis oleh mana-mana kesenian kerana ketinggian nilai budi, saranan akhlak juga peraturan hidup manusia. Dr Venetia Porter, Kurator Muzium British yang juga seorang pengkaji kesenian Islam menyatakan, tulisan merupakan antara elemen terpenting untuk menyampaikan sesuatu maksud sebagai gambaran pelbagai kejadian yang berlaku. Sistem tulisan Arab – wadah yang mengungkap maknawi bahasa Al-Quran menjadi pengikat ukhwah dan penglahiran perasaan mengagungkan Maha Pencipta.

Keistimewaan sistem tulisan Arab (jawi) ini penentu ciri kesenian Islam yang melampaui batasan dan sempadan. Tulisan-tulisan Arab ini dizahirkan kepada bentuk yang seni oleh seniman Islam. Objek penglahiranny berlegar disekitar kosmos alam yang bersangkutan dengan keagungan Tuhan. Bertitik tolak dari inilah muncul kesenian seni kaligrafi Islam yang telah dimulai dari sejak Islam lahir ke muka bumi ini. Seni kaligrafi Islam atau lebih sinonim dengan nama ´seni khat´ merupakan khazanah tertua di dunia yang masih dimiliki oleh umat Islam. Perkembangan Islam yang tersebar ke seluruh pelosok dunia, menyaksikan kaligrafi Islam teradaptasi dengan perubahan yang berlaku tanpa menghilangkan ciri dan nilai keIslamannya.
Penulisan Khat yang pertama di dunia dipercayai dihasilkan di Kufah, Iraq dalam kurun ke tujuh.

Fakta yang tercatat daripada sumber bertulis – seorang sufi mendapat ilham menghasilkannya melalui mimpi. Tulisan-tulisan yang dihasilkan dinamakan Kufic (Kufi) iaitu tulisan yang tidak bercantum. Ia digunakan sehingga kurun ke-12. Pada kurun ke 10 – seni kaligrafi Islam tersebar ke Parsi dengan gabungan-gabungan huruf yang lebih berseni. Tulisan kaligrafi Islam ini terdiri daripada beberapa jenis iaitu khat Kufi, Khat Nasakh, Khat Diwani, Khat Thuluth, Khat Riqa. Tulisan kaligrafi dari jenis Nasakh dijadikan asas dalam mempelajari sistem tulisan Arab di negara berkenaan.

Alam Melayu tidak terkecuali menyerap unsur Nasakh ini sebagai asas pembelajaran tulisan jawi, yang kemudiannya dipertingkatkan dengan sistem tulisan khat yang lain. Khat Kufi dikatakan sebagai khat yang paling popular didunia. Ia digunakan sebagai tulisan dalam Al-Quran selama tiga kurun lamanya. Sistem khat Kufi yang tidak mengalami banyak perubahan semasa menjadi asas ia dikekalkan sebagai tulisan di dalam naskah al-Quran.

Pada kurun ke-16 dan 17 – seni khat pernah menjadi medium komunikasi terpenting dalam menyampaikan mesej diplomatik. Ia diperkenalkan oleh Housam Roumi semasa era Suleyman 1 di wilayah Turki. Kesenian tulisan khat jenis ini terserlah melalui tanda diakritik dengan tulisan yang menarik. Seni khat yang dikenali dengan nama Diwani ini berkembang seiring dengan variasinya iaitu Diwani al-Jali yang berbingkai.Antara seni khat yang masih lagi menjadi tumpuan para peminat seni warisan Islam hingga kini termasuklah khat Tuluth dan khat Riqa. Pada awal perkembangan seni khat, sejenis pokok yang direncongkan hujungnya dan dicelup dengan cecair dakwat, ditulis pada kepingan kulit-kulit tamar, kulit kambing yang dikeringkan dan daun-daun papyrus yang dijadikan kertas. Namun begitu, alam Melayu menyaksikan penggunaan batang-batang pokok resam sebagai alatan utama untuk menulis khat. Batang resam yang ditiruskan pada bahagian hujungnya akan dicelupkan dengan dakwat sebelum tulisan khat dilakarkan pada kertas.

Seni Khat yang mengadaptasi dengan dunia moden terus berkembang tetapi masih lagi bertapak pada seni yang asal iaitu dalam konteks keIslaman (mentauhidkan Allah dan lebih berupa nasihat). Kini, seni khat bukan sahaja terlakar pada kepingan kertas malahan menjadi hiasan bercorak islamik apabila ia ditulis pada kepingan cermin, diukir pada mimbar-mimbar masjid dan turrut dijadikan cenderamata untuk kenangan. Nafas baru dalam penghasilan seni khat ini secara tidak langsung meningkatkan martabat seni khat sebagai unsur seni yang cukup tinggi. Sesungguhnya seni kaligrafi Islam adalah lambang kesenian unggul tamadun Islam yang tiada tandingannya.



SENI KHAT :

Berdasarkan model tulisan Naskh lahir berbagai-bagai model tulisan, hingga mencapai ke angka 20 model antaranya termasuklah Qalam, Jalil, Dibaj, Mudamarat, Sijillat, Astomar, Kabir, Thalatin, Qasas, Zambur ,Uhud, Hirfaj dan Heran. Walaubagaimanapun, jika dilihat sekali imbas didapati banyak yang mempunyai nilai-nilai persamaan. Oleh itu perkembangan selanjutnya model huruf-huruf yang hampir sama disatukan menjadi model asasnya kepada enam sahaja, inilah yang dikenali dengan nama al-Qalam al-Sittah. Model atau gaya inilah yang sering kali digunakan dalam tulisan mahupun hiasan. Keenam-enam model ini yang dipelbagaikan bentuknya berjaya menghasilkan satu lagi model menjadikan jumlah kesemuanya tujuh, seperti Khat Kufi, Khat Thulus, Khat Farisi, Khat Riq’ah, Khat Diwani, Khat Diwani Jali dan Khat Raihani.

Walaupun demikian pesat perkembangannya, kaligrafi Arab ini baru mencapai zaman kegemilangannya pada abad ketiga hijiriyah berkat kemunculan seorang tokoh penting yang dikenali sebagai Ibnu Muqlah atau ‘Anak Sebiji Mata’ atau ‘Anak Kesayangan’. Usaha murni Muqlah semakin dirasakan hebat realitinya dengan keterampilan seorang seniman muda yang berbakat yang bernama Abu Hassan Ali Bin Hilal atau dikenali ramai sebagai al-Bawwab atau Ibn al-Bawwab. Usaha beliau banyak tertumpu kepada penerusan al-Qalam al-Sittah yang dipelopori oleh Ibn Muqlah. Tulisan yang enam ini dikatakan sampai kepuncak kehebatannya di tangan Yaqut. Selepas itu, tidak terdapat lagi perubahan-perubahan dasar kecuali pengukuhan-pegukuhan.




JENIS-JENIS KHAT :


KHAT KUFI

Bentuk awal Khat Kufi telah sedia ada semenjak sebelum Islam, dengan bentuk hurufnya yang bersegi atau murabba. Pada zaman Khalifah Ali bin Abu Talib, ibu kota pemerintahan dipindahkan dari Madinah ke Kufah. Pada masa itulah para ahli Khat dikota tersebut telah menggunakan khat ini secara meluas, disamping menyempurnakan dan mengembangkannya sehingga khat tersebut dikenali dengan nama Khat Kufi sempena nama Bandar Kufah itu. Tulisan model Kufi ini yang sesuai dengan namanya dicipta dan sangat terkenal di Kota Kufah. Pada zaman kerajaan Abbasiah, khat dipergunakan sebagai hiasan pada bangunan-bangunan masjid, gedung-gedung pemerintahan, kubah atau menara-menara azan dan ditulis dalam bentuk ukiran timbul. Sekarang banyak dipergunakan untuk hiasan-hiasan pada majalah, surat khabar, buku, poster, sepanduk dan sebagainya.


KHAT THULUS

Khat Thulus kebanyakkan hanya untuk hiasan seperti mashaf Al-Uthmani, nama buku atau kitab dan untuk tujuan hiasan yang lain. Khat ini telah diperindahkan bentuknya oleh ahli kaligrafi Arab yang masyhur bernama Al Wazir Abu Muhammad bin Muqalah dan saudaranya Abu Abdullah Al Hasan. Kedua-duanya telah mencipta kaedah dan teknik penulisan dan jarak huruf beserta gaya da iramanya yang begitu rapi dan terperinci. Khat gaya ini jelas dan mudah dibaca. Oleh sebab itu banyak digunakan untuk menulis buku-buku akademik terutamanya Al-Quran, Hadis, Tafsir dan Fiqh. Khat Thulus merupakan khat yang sangat indah. ketika menulis. Kebiasaannya susunan dilakukan dengan melakar huruf dari atas ke bawah atau boleh juga dari bawah ke atas, dimana ahli-ahli khat meletakkan huruf itu seolah-olah sedang menyusun batu-batu binaan. Biasanya struktur Thulus dilakukan dalam bentuk lurus, empat segi, bulat, bujur telur. Thulus bermaksud satu pertiga (1/3). Yang dinamakan Khat Thulus adalah kerana huruf menegaknya ditulis dengan mata pena dengan ukuran lebar menyamai satu pertiga (1/3) lebar mata pen. Ia juga dikenali sebagai Khat Arab disebabkan peranannya sebagai sumber asasi pelbagai khat Arab yang lahir selepas Khat Kufi. Khat ini dikenali sebagai Ummul Khutut (Ibu tulisan) dan jarang digunakan.



KHAT FARISI

Peringkat permulaan jenis ini dikembangkan oleh ahli-ahli khat Arab di Parsi, sehingga berupaya melahirkan gaya tersendiri dengan bentuk hurufnya yang condong sedikit ke kanan. Khat ini banyak diguna untuk penulisan buku-buku kesusasteraan, nama dan tajuk-tajuk karangan pada majalah dan surat khabar. Khat Farisi digunakan dengan meluas di Parsi, Pakistan dan India, sehingga tulisan Urdu lazimnya ditulis dengan Khat Farisi. Khat Farisi dicipta oleh Mir Ali al- Tibrazi dan kemudianya diperindahkan oleh Imaduddin al- Syirazi. Ia digunakan dengan meluas oleh masyarakat Iran yang diketahui sejak dahulu amat berminat dengan kesenian yang merupakan warisan turun temurun datuk nenek mereka. Mereka begitu mahir dan cekap dari segi penggunaannya sehingga menjadikan tulisan- tulisan khat ini sebagai tulisan yang mempunyai ciri-ciri tersendiri pada orang Iran dan terkenal sehingga kehari ini dengan nama Khat Farisi (iaitu nisbah kepada bangsa Iran sendiri). Khat ini mempunyai bentuk yang cantik, hurufnya sangat menarik, tidak berbaris, tersusun, sama seperti bentuk Riqa’ah. Keindahan Khat Farisi terletak pada bentuk lengkungnya yang menarik, kurang garis menegak dan bentuk hurufnya yang condong ke kanan dan memanjang. Khat ini juga dikenali dengan Khat Nasta’liq (iaitu gabungan antara Nasakh dan Ta’liq).


KHAT RIQ’AH

Khat Riq’ah dikenali juga dengan sebutan Khat Riq’ah merupakan tulisan Arab yang dapat ditulis dengan cepat. Oleh itu khat jenis ini seringkali dipergunakan untuk tujuan surat menyurat dan digunakan juga oleh para pelajar universiti dan madrasah untuk mengambil nota kuliah. Riq’ah menurut Kamus Bahasa ialah cebisan kertas yang ditulis. Khat ini mempunyai ciri-cirinya yang tesendiri seperti bentuk hurufnya yang tegak dan kecil. Kebanyakan huruf-hurufnya ditulis di atas garisan, boleh ditulis dengan cepat dan mempunyai sedikit sahaja kaedah. Penulisannya agak mudah jika dibandingkan dengan Khat Nasakh. I a dicipta oleh penulis Khat Turki, iaitu Mumtaz Bek.



KHAT DIWANI

Khat ini berasal dan berkembang daripada tulisan Riq’ah menjadi tulisan Musalsal yang hurufnya berjalin. Kemudian meningkat menjadi Khat Sultaniyah dan Khat Hamayuni. Khat jenis ini sangat luas penggunaannya di pejabat-pejabat kerajaan seperti kerajaan Islam di Mesir di bawah pemerintahan Sultan Khedewey sekitar tahun 1220 H. Sesudah itu, oleh kerana sifat-sifat estetiknya yang jelas, Khat Hamayun digunakan untuk penulisan surat-surat rasmi seperti surat perjanjian, surat penghargaan, surat keputusan dan sebagainya.

Diwani bererti catatan atau antologi karangan. Ia didapati dari inspirasi model-model lain. Fungsinya hanya untuk hiasan. Antara ahli-ahli Khat Diwani yang termashyur dalam sejarah, termasuklah Syeikh Hamadullah al-Amasy, Jalaluddin dan al-Hafiz Uthman. Penulis seni khat ini ialah Muhammad Munif tetapi kaedah penulisannya telah diolah semula oleh Syahla Pansha dan al- Hafiz Othman. Dinamakan Khat Diwani kerana ada di antara pendapat yang mengatakan khat ini sering digunakan sebagai tulisan rasmi di jabatan-jabatan kerajaan. Daripada jabatan kerajaan tulisan ini berkembang ke segenap lapisan masyarakat.

KHAT DIWANI JALI

Selain Khat Diwani, terdapat lagi Khat Diwani Jali yang sifatnya lebih bervariasi dan dikira rumit penulisannya, tetapi lebih indah dan estatik. Model yang dipenuhi dengan tanda-tanda syakal ini sering digubah dalam bentuk-bentuk yang indah dan menarik, seperti bentuk perahu, ikan, burung dan sebagainya. Penulis-penulis Khat Diwani Jali yang terkenal seperti Muhammad Izzat dari Istanbul, Hisyim Muhammad al-Baghdadi, Syed Ibrahim al-Mala Ali berjaya menghasilkan ciptaan-ciptaan yang indah.


KHAT RAIHANI

Jika dilihat dari segi bentuk Khat Raihani hampir menyerupai Khat Thulus. Hanya huruf-hurufnya agak lebih lebar dan panjang serta ditambah dengan tanda-tanda syakal. Hashim Muhammad al-Khuttat dalam kitabnya Qawa’id al-Khatti li al-Araby menyatakan bahawa kaligrafi khat adalah sesuatu yang mengasyikkan dan sangat menarik. Tulisan ini adalah satu-satunya yang paling fleksibel, elastik dan mudah dibentuk untuk disesuaikan dengan tempat tanpa mengorbankan keasliannya. Lebih mempesonakan lagi jika khat tersebut dihasilkan oleh seorang seniman Naturalist. Keindahan tulisan ini sering membuat seseorang seniman mengolahnya menjadikan benda-benda yang wujud seperti perahu, gelas, binatang dan sebagainya. Bahkan pengambilan sumber semulajadi yang lain seperti tumbuhan merupakan seni yang sangat indah dalam perkembangan kesenian Islam yang digabungkan dengan seni Khat yang berasal daripada tulian Arab. Penyertaan ini pula pada hakikatnya merupakan kesedaran kepada erti larangan untuk mencuba menggambarkan makhluk-makhluk hidup sesuai dengan Hadith Nabi S.A.W. Sebagai hasilnya, maka usaha untuk mengabadikan ciptaan Ilahi yang berupa alam dan segala kandungannya dalam bentuk yang abstrak dan estatik.



1 comment:

Unknown said...

letak gambar untuk contoh-contoh khat agar org dpt memahami....